Adam Corrie: 'Dragon' Yang Berdakwah

April
24, 2017 by

Naurah Arfan

Adam Corrie Lee bin Abdullah. Siapa sahaja yang tidak kenal Dragon KL Gangster?

Adam Corrie Lee merupakan seorang pelakon terkenal yang telah berada di persada dunia hiburan sejak 30 tahun dan telah berlakon di dalam 31 buah filem. Walaupun sering memainkan watak antagonis, hakikatnya Adam Corrie adalah seorang yang amat besar jiwanya dan aktif dalam usaha dakwah sejak beliau sendiri memeluk agama Islam hampir sepuluh tahun lalu.

 

Kisah Memeluk Agama Islam

Pada 13 Julai 2007, Adam Corrie kembali pada fitrah dengan mengucapkan dua kalimah syahadah sebagai Adam Corrie Lee bin Abdullah. Katanya, beliau tertarik dengan Islam kerana amat suka melihat Kaabah dan membuatkan beliau ingin ke sana. Beliau juga mengenali Islam sejak umur yang masih muda ketika bersahabat baik dengan anak seorang ustaz yang selalu membawanya ke masjid. Beliau tertarik dengan akhlak dan cara hidup keluarga ustaz tersebut. Beliau juga banyak mengkaji tentang agama-agama lain kerana ingin mencari pedoman dan kebenaran dalam hidup.

Salah satu turning point beliau adalah apabila beliau bermimpi. Setelah sekian lama mencari, sehingga beliau berasa fed up mencari jawapan kerana tidak dapat berjumpa dengan seorang sami, beliau berkata sebelum tidur,

“Ya Allah, aku tahu aku bukan Islam tetapi sekiranya ia adalah pegangan aku sampai mati, Engkau berilah petunjuk dan berikan jalan yang lurus untukku.”

Pada malam itu juga, Adam Corrie bermimpi. Beliau bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih, tubuhnya bercahaya. Wajahnya tidak jelas, tetapi apabila Adam Corrie melihat matanya, lelaki itu tersenyum. Tiba-tiba, Adam Corrie dibawa oleh lelaki itu ke satu tempat yang amat indah, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Adam Corrie ibaratkan tempat itu adalah syurga.

Lelaki itu berkata kepadanya, “Saya datang kerana hendak menjemput awak memeluk agama Islam. Mari, saya bawa awak ke syurga dan awak tengok kebenarannya.”

Mimpi itulah yang memberi keyakinan kepada Adam Corrie bahawa Islam adalah agama yang benar. Pada 13 Julai 2007, beliau pun membawa dua orang saksi ke PERKIM Kuala Lumpur dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Tidak sampai setahun selepas beliau memeluk agama Islam, beliau dijemput ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

 

Jodoh dan Perkahwinan

Semasa berada di kota Madinah, di Masjid Nabawi, Adam Corrie berdoa kepada Allah SWT agar dipertemukan dengan jodoh yang baik. Beliau berdoa di Raudhah, dan ketika melawat makam Rasulullah SAW, beliau menyatakan hasratnya untuk membawa isterinya berjumpa dengan Rasulullah dan mengucapkan salam kepadanya.

Tidak lama selepas pulang, melalui seorang kawan, Adam Corrie bertemu dengan Fazema Mohamed Fuad atau lebih mesra dengan panggilan Fazi sehari sebelum bulan Ramadhan pada 30 Ogos 2008. Perkenalan mereka amat singkat dan mereka berkahwin pada 21 November 2008.

Menurutnya, isterinya yang banyak membantunya mendalami agama Islam. Mereka sering membaca tentang kisah-kisah Rasul dan sama-sama mendalami ilmu agama.

 

Umrah Adam Corrie dan Isteri

Adam Corrie dan isteri juga telah mengerjakan umrah bersama pada 10 Jun 2015 dalam program Kembara Iman Saudara Baru dengan membawa juga seramai 23 orang saudara baru ke Tanah Suci menggunakan dana yang dikumpul berseorangan. Pada masa itu, Fazi baru 3 hari keluar dari hospital selepas dibedah kerana hamil di luar rahim.

Subhanallah. Begitu berat ujian mereka selepas 7 tahun menunggu zuriat. Pada hari pertama mengerjakan umrah, Adam Corrie membantu isteri menggunakan wheelchair kerana masih belum boleh berdiri dan berjalan sendiri.

Kini, Adam Corrie bukan sahaja dikenali sebagai seorang pelakon yang hebat, tetapi juga sebagai seorang ikon dalam dunia Islam yang kerap berdakwah melalui laman sosial. Sudah ramai yang tergerak hati memeluk agama Islam selepas membaca perkongsiannya.

adam corrie elle zada

Persona seorang Champion sejati yang amat dikagumi! Tahun ini, pasukan ELLE ZADA amat berbesar hati untuk berkoloborasi bersama Adam Corrie Lee bagi #ProjekRayaELLEZADA2017.

Semoga perjuangan dan pengalaman beliau memberi semangat kepada kita semua untuk sentiasa bersabar dan kuat menghadapi ujian dan cabaran, serta tidak mudah mengalah untuk memperjuangkan agama Islam dalam kehidupan seharian kita.

ELLE ZADA

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS