Antara Hak dan Tanggungjawab

March
16, 2017 by

Eva Daniel

Menuntut hak itu mudah. Menjalankan tanggungjawab itu berat.

Suatu hari, saya mengikuti kuliah Isyak di masjid di mana ustaz penceramah membicarakan tentang soal tanggungjawab. Tanggungjawab anak dan ibu-bapa. Suami dan isteri. Pelajar dan guru. Sungguh menarik pengisian ceramah tersebut, penuh dengan pandangan berasaskan pengajaran dari sunnah dan al-Quran.

Saya melihat jam. Sudah hampir 9.30 malam.

Ustaz membuka ruangan untuk bertanyakan soalan. Lantas seorang wanita mengangkat tangannya. Umurnya seperti di awal 30an dan beliau sedang memangku anak kecilnya yang tertidur.

“Ustaz, saya nak tanya tentang hak seorang isteri. Terutamanya dari segi nafkah ya ustaz, boleh beri pencerahan sedikit tentang hak isteri ke atas suaminya.”

Di kalangan Muslimat, ada suara-suara dengan perlahan bersetuju dengan soalan yang diajukan. Di ruangan Muslimin, ada yang menoleh untuk melihat siapa yang bertanyakan soalan itu… mungkin juga ingin memastikan yang bertanya itu bukan isterinya.

Ustaz itu mengganguk, seperti terdapat senyuman yang terukir di bibirnya. “Ya, baiklah,” ustaz menjawab. “Saya simpan dahulu soalan itu. Ada lagi yang ingin bertanya?”

“Ya, ustaz,” seorang lagi Muslimat mengangkat suaranya. “Hak ibu bapa ke atas anak.”

“Baik,” ustaz menjawab. “Ada lagi?”

“Ustaz kena adil,” seorang pemuda mencelah. “Perlu cerita juga hak suami ke atas isterinya.”

Terdengar sedikit gelak tawa di kalangan kaum Muslimin.

Ustaz lantas bertanya, “Apakah tajuk kuliah saya malam ini? Dari selesai solat isyak sampai sekarang, masih adakah yang ingat?”

“Tanggungjawab,” ada seseorang menjawab.

“Ya, tanggungjawab,” ustaz membalas. “Memang, bila cerita tentang tanggungjawab, tak ada siapa yang suka dengar tentang tanggungjawab. Lagi seronok cerita tentang hak masing-masing. Tanggungjawab ni susah. Bukan senang. Semakin tinggi umur kita meningkat, kita kahwin, dah ada anak, semakin banyak tanggungjawab yang kita pikul. Tapi yang biasa kita persoalkan adalah tentang hak. Bagi ustaz tanya pula. Yang tanya tentang hak ni, adakah tanggungjawab sendiri sudah diselesaikan dahulu?”

Pangggg. Seperti terkena suatu tamparan ruangan solat di masjid itu. Senyap. Sunyi. Saya juga, terus hilang kata-kata apabila mendengar teguran ustaz yang begitu pandai menjawab persoalan tersebut.

Benar kata ustaz.

Kita seringkali bertanya akan hak kita, tetapi adakah kita sebenarnya telah menjalankan tanggungjawab kita dalam menunaikan hak orang lain atas diri kita?

“Hak dan tanggungjawab ini berkait rapat,” kata ustaz. “Jika semua jalankan tanggungjawab masing-masing, insyaAllah tiada persoalan tentang hak masing-masing yang tak dipenuhi.”

Benar kata-kata ustaz ini. Jika difikirkan, apa yang akan ditanya dahulu selepas kita mati nanti? Adakah kita akan ditanya tentang tanggungjawab kita, atau adakah kita akan ditanya tentang hak kita? Semestinya kita akan ditanya dahulu tentang tanggungjawab kita.

Sebenarnya, apabila kita sering bertanyakan tentang hak diri kita yang belum tertunai, kita sedang mengundang kehadiran syaitan dengan carpet merah. Amat senang untuk syaitan mencucuk kita dengan bisikan dan hasutan untuk membuatkan kita berasa tidak bersyukur.

 

MENTALITI HAK :

Suami awak bagi RM100 je? Habis tu anak-anak nak makan apa? Pasir?

Ini je isteri awak masak malam ni? Awak penat-penat kerja, isteri duduk rumah je layan anak-anak, lauk ini je dia sediakan untuk awak?

Anak saya langsung tak pernah membantu di rumah. Pinggan mangkuk sendiri pun tak reti nak basuh.

Mak ayah tak pernah bagi apa yang saya nak. Kawan-kawan semua dah pegang iPhone, aku masih dengan phone buruk ni.

Ya, inilah mainan syaitan. Jika kedua-dua pihak cuma mementingkan soal hak masing-masing, inilah kekacauan minda yang bakal timbul dalam rumah tangga masing-masing.

Tetapi, jika kita melihat dari sudut tanggungjawab pula, bagaimana rupanya?

 

MENTALITI TANGGUNGJAWAB :

Suami mampu bagi RM100 je bulan ni. Kesiannya dia. Bayar kereta, rumah, bil. Ada tak cara saya untuk membantu dia?

Alhamdulillah, isteri masak malam ni. Kesian dia, penat jaga anak-anak. Takpa, lepas makan ni, saya akan tolong basuh pinggan mangkuk.

Astaghfirullah, adakah saya terlupa untuk mendidik anak? Baru saya sedar dia tak rajin membantu di rumah. Mungkin dia ada masalah, dan mungkin juga ini silap saya sebab tidak mendidik dari awal.

Mak ayah dah penat bayar untuk saya belajar. Mungkin saya boleh minta izin kerja part-time untuk simpan duit beli handphone baru.

Ya, ini pula adalah mentaliti tanggungjawab. Sungguh berbeza dengan mentaliti bertanyakan hak itu dan ini, bukan?

Mentaliti tanggungjawab akan membuatkan diri kita bekerja. Kita tidak akan duduk menunggu bulan jatuh ke riba. Jika semua di dalam rumah tangga kita juga mempunyai mentaliti tanggungjawab, insyaAllah, kita akan merasa kebahagiaan rumah tangga yang tiada nilainya.

Mari ubah mentaliti kita!

Mari laksanakan tanggungjawab kita!

Mari berhijrah dalam kehidupan kita!

Eva Daniel

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS