Audit Rezeki: Adakah Ianya Berkat?

May
10, 2017 by

Naurah Arfan

Baru terima gaji semalam, hari ini sudah 'sempit'.

Pagi ini, saya berbual-bual dengan bapa saya, berkongsi kisah di tempat kerja. Kami berdebat sedikit antara kebaikan bekerja dengan kerajaan, bekerja sendiri, atau bekerja di syarikat swasta. Soal gaji yang lebih tinggi serta ‘keselamatan’ dari segi job security menjadi topik hangat perbualan kami.

Saya berkata, “Kerja government seronok sikit. Kawan saya pernah cakap, kadang-kadang langsung takde kerja di office. Last-last masuk untuk punch in, keluar untuk selesaikan kerja lain, balik petang untuk punch out sebab memang takde kerja.”

Bapa saya tersenyum hambar. “Mana berkatnya rezeki kalau begitu. Memang tiada kerja, tapi mungkin hilang keberkatan gajinya nanti.”

Allah. Terasa seperti ditampar pipi ini apabila mengenangkan kerja-kerja sebelum ini yang dibuat secara sambil lewa. Walaupun ayah tidak mengajukan teguran ini secara langsung kepada saya sendiri, tetapi saya faham: ini adalah satu teguran dari Allah SWT buat hambaNya yang kerdil dan lemah ini. Bapa saya mungkin tidak sedar bahawa beliau baru sahaja menegur saya; di mana Allah SWT menegur saya, melalui kata-kata bapa saya. Kerana Allah ingin hambaNya tersedar.

Kadangkala, kita akan merasa kesempitan hidup.

Terasa seperti baru sahaja menerima duit gaji semalam, tetapi hari ini hilang semuanya. Kita cemburu melihat rakan-rakan kita yang seolah-olah tidak pernah merasai kesempitan wang, walaupun hakikatnya jumlah gaji mereka lebih kurang sama sahaja. Tapi, mengapa?

Mungkinkah mereka menyiapkan kerja mereka sebaik mungkin, sedangkan kita senang hati dengan kerja yang ‘ala kadar’, asalkan siap?

Mungkinkah mereka sampai di tempat kerja lebih awal dan mungkin secara ikhlas pulang sedikit lewat, sedangkan kita punch in dan sarapan dahulu, kemudian kita juga yang pertama beratur untuk punch out?

Mungkinkah mereka menguatkan kudrat untuk bekerja juga disaat tubuh diuji dengan kesihatan yang tidak menentu, sedangkan kita terasa malas sedikit pun sudah meminta MC dari doktor?

 

Rezeki yang tiada berkat tidak akan pernah cukup.

Tetapi, rezeki yang diberi berkat dari Allah SWT, sedikit pun sudah melebihi keperluan. Saya teringat kepada suatu kisah pada zaman Rasulullah SAW, ketika baginda ingin menjamu sahabat-sahabat baginda. Hidangannya cuma satu bekas berisi roti, dan satu bekas susu kambing. Ajaibnya, makanan itu tidak luak sedikit pun ketika dikongsi oleh sahabat yang ramai.

Kita juga pernah merasa situasi begini.

Ketika berbuka puasa di masjid, kadangkala makanan dalam talam yang perlu dikongsi beramai-ramai pada zahirnya seperti tidak cukup. Tetapi sungguh ajaib, dengan keberkatan dariNya, semua lantaran itu berasa kenyang walaupun makan hanya sedikit.

Ya, inilah yang dinamakan keberkatan.

Andai dada terasa sempit, marilah kita audit kembali kerja kita.

Adakah dengan usaha kita di saat setimpal untuk memperoleh berkat?

Atau adakah kita sebenarnya telah ‘berhutang’, dan disebabkan itu rezeki sentiasa terasa seperti tidak mencukupi?

Mari audit semula!

Naurah Arfan

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS