March
13, 2017 by
Ujian.
Jika diberi pilihan, siapa sahaja yang sanggup dan sudi melaluinya? Setiap insan pasti akan ditimpa ujian dan musibah. Ada yang ditimpa ujian dari segi kesihatan. Ada yang mengalami kesempitan dari segi kewangan. Ada yang ditikam oleh sahabatnya sendiri. Ada yang mengalami ujian rumah tangga dan anak-anak.
Bukan namanya manusia jika tidak ditimpa ujian. Tetapi sebagai hambaNya yang sentiasa redha, perlu menyedari bahawa setiap ujian itu tidak akan melebihi kemampuan diri untuk mengatasinya:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga meanggung dosa kejahatan yang dilakukannya.” (Al-Baqarah: 286)
Yakinlah, ujian yang diberi adalah kerana kasih dan sayangNya Allah SWT kepada kita sebagai hambaNya. Setiap manusia yang ditimpa ujian sebaiknya menggunakan ujian tersebut sebagai satu lapangan dan peluang untuk mencari rahmat Allah SWT.
Sepertimana yang tertulis di dalam al-Quran:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk ke syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang terdahulu sebelum kamu?” (Al-Baqarah: 214)
Menjelang tahun 2017, populasi dunia kini hampir mencecah 7.5 billion manusia. Marilah musahabah kembali diri kita. Dalam seramai-ramai 7.5 billion manusia pada tahun ini, adakah ada kemungkinan terdapat seseorang yang lebih berat ujiannya daripada apa kita sedang hadapi saat ini?
Mungkin ada paling kurang seorang yang menghadapi perkara sepertimana sedang dialami kita pada hari ini.
Tetapi fikirkanlah.
Dalam seramai-ramai 7.5 billion manusia di muka bumi ini, mungkinkah ada yang lebih sabar, lebih redha, dan diangkat darjatnya lebih tinggi dari kita kerana kesabaran mereka menempuh dugaan dan cabaran yang diberi oleh Allah SWT?
Patutkah kita mengeluh?
Patutkah kita enggan bersyukur?
Adakah kita mampu mengatakan, “Ujian saya paling berat! Dalam seramai-ramai 7.5 billion manusia di muka bumi ini, sayalah yang diuji paling berat, paling hebat!”
Tidak.
Kita tiada hak untuk berkata mahupun terlintas untuk berfikir sedemikian.
Lebih-lebih lagi apabila kita menyedari bahawa ujian yang diberikan tidak akan pernah melangkaui kemampuan diri kita untuk mengatasinya.
Ingatlah duhai hamba Allah, tika kamu diuji Tuhanmu, bukanlah kerana Allah tidak menyayangimu.
Bahkan Allah menguji kerana Allah SWT begitu sayang akan hambaNya yang bersabar. Yang tanpa rasa ego menadah tangan memohon dan merintih padaNya. Yang tanpa lelah mengadu disepertiga malam dikala tahajjud menghiasi waktu sendiriannya.
Maka, bersabarlah dan bermuhasabah diri, kerana dalam seramai 7.5 billion manusia di muka bumi ini, PASTI ada insan lain yang ditimpa ujian jauh lebih berat daripada anda.
Bersabarlah dan berbahagialah dengan janji Tuhanmu!
Eva Daniel.
Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.