Jangan Sesekali Menghukum Orang Lain – Itu Kerja Allah SWT!

March
18, 2017 by

Naurah Arfan

Jangan sehingga orang lain membenci Islam kerana kita.

Dalam usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri, kadangkala kita terlupa bahawa Islam adalah agama yang cantik lagi mudah.

Di dalam surah Al-Fatihah, kita seringkali membaca paling tidak tika solat fardhu 5 waku, 17 kali sehari:

“Tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus”

Tidakkah anda berasa pelik?

Jika saya ingin menuju ke sesuatu tempat dan saya tidak tahu jalan untuk ke sana, saya akan tanya, “Bolehkah anda tunjukkan saya jalan untuk pergi ke butik ELLE ZADA?” contohnya.

Tetapi, di dalam surah Al-Fatihah, kita diajar untuk memohon pertolongan ke sesuatu jalan. Bukan destinasi, tetapi jalan.

Bila kita fikirkan tentang konsep sebuah perjalanan, pasti kita boleh menggambarkannya. Ada kenderaan yang bergerak dengan cukup pantas memotong kenderaan-kenderaan lain. Ada kenderaan yang bergerak begitu perlahan. Ada juga kenderaan yang sedang behenti, tetapi ia tetap berada di atas jalan yang sama.

Konsep Islam juga begitu. Kita dipandu untuk sentiasa berada di atas jalan yang lurus, sama ada kita bergerak dengan laju ataupun tidak.

 

Di dalam hidup ini, ada antara kita yang bertuah.

Ada yang dilahirkan ke dalam keluarga yang dari awal menekankan pemakaian patuh syariah. Ada pula yang dilahirkan dari latar belakang keluarga yang mementingkan kejujuran, walaupun kemungkinan tiada penekanan terhadap pakaian yang menutup aurat. Jadi, begitu mudah untuk kita mula menilai insan lain.

Pantas sekali tangan kita mencapai mushaf, mencari ayat al-Quran dan hadis untuk mula menghukum, memberitahu bahawa jika si A tidak memakai tudung, si A akan dihumban ke dalam neraka.

Kita mengaku diri kita beragama Islam, namun begitu kasar sekali bahasa kita.

Nauzubillah min zalik.

Sebagai seorang Muslim, kita sewajarnya menginginkan setiap orang yang kita temui untuk bersama-sama menempak tiket ke Syurga. Bukankah Syurga itu luas?

Hati yang sihat tidak akan sekali-kali menginginkan seseorang itu dihukum di dalam neraka, jika kita benar-benar menghayati keadaan di neraka nanti.

Kita juga ingin masuk ke dalam syurga. Tetapi kita terlalu mudah menghukum, walaupun kerja menghukum itu adalah kerja Allah SWT!

Adakah kita yakin seseorang itu akan masuk ke dalam neraka?

Mungkin kita dahulu yang akan memasuki neraka, kerana dengan kata-kata kasar kita yang penuh dengan perasaan benci, seseorang mungkin akan berasa jauh dengan Islam. Berasa jauh kerana kita.

Astaghfirullah…

Janganlah kita begitu cepat menghukum, kerana kita tidak tahu di mana seseorang itu berada di atas jalan Allah SWT.

Seperti yang tertulis di dalam Al-Quran, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan pengajaran yang baik” (An-Nahl 16:125).

Di dalam ayat ini juga, Allah SWT menyuruh kita mengajak manusia ke jalanNya. Allah SWT tidak meminta kita mengajak mereka ke destinasi, tetapi ke jalan Islam. Selagi kita masih berada di atas landasan yang benar, insyaAllah, kita sedang menjalankan suruhanNya.

Mari kita berkongsi tentang keindahan Islam, tentang sifat Allah SWT yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, tentang nabi kita, Nabi Muhammad SAW yang merindui kita manusia akhir zaman.

Mari kita ajak keluarga kita, rakan-rakan kita, dan kenalan kita ke jalan yang lurus, sama ada mereka ingin bergerak dengan cepat mahupun lambat, tidak mengapa. Kerana yang paling penting adalah langkah pertama anda menuju redha Allah SWT.

“Siapa mendekat kepadaKu sejengkal, maka aku akan mendekatinya satu hasta. Siapa yang mendekat kepadaKu satu hasta, maka aku akan mendekat kepadanya satu depa. Dan siapa yang mendekat kepadaKu dengan berjalan kaki, maka aku akan mendekatinya dengan berlari-lari kecil.”

Begitulah yang diriwayatkan HR Muslim akan siapa yang jiwa dan langkahnya kian mendekat kepada Allah SWT.

Semoga dilimpahi rahmat atas hati-hati yang sentiasa merindui untuk kembali ke jalan Allah SWT.

 Naurah Arfan.

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS