March
11, 2017 by
Seorang isteri pulang ke rumah dan mendapati semua kerja-kerja rumah masih belum diselesaikan. Tiada langsung pertolongan dari si suami, yang kini sedang berehat di hadapan kaca mata TV.
Selonggok pakaian di tepi sofa dibiarkan. Pinggan mangkuk di atas meja yang dibiarkan ketika mereka bergegas ke tempat kerja masih seperti pagi tadi, diangkat pun tidak, apatah lagi untuk dibasuh.
Terus bad mood, si isteri masuk bilik untuk menukar pakaian. Tangannya sempat mencapai handphone dan 10 saat kemudian, keluarlah status public untuk dibaca:
“Lelaki ni, mana boleh hidup kalau takde perempuan. Mengharap suami tolong kat rumah ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Kain selonggok kalau bukan I yang lipat, memang sampai tua la dia selonggok kat situ.”
Dengan penuh tidak ikhlas, si isteri mula menyiapkan kerja-kerja rumah. Sekejap angkat pinggan, sekejap tengok handphone, membalas komen isteri-isteri lain yang juga meluahkan perasaan dan membuka aib suami masing-masing. Astaghfirullah.
Keluar game POKEMON Go, seorang alim ulama’ yang disegani memberi pandangan bahawa permainan itu lebih afdhal ditinggalkan. Banyak sebabnya yang berkaitan dengan privasi, akidah, penjagaan masa dan sebagainya yang diberikan sebagai sokongan kepada pandangan tersebut.
Di ruangan komen artikel ulama’ itu, keluarlah beberapa komen:
“Ah, ulama’ sekarang ni tak ikut trend zaman kini. Mana boleh samakan zaman ni dengan zaman dulu. Dulu lain, sekarang lain. Kalau pandai jaga masa, jaga solat, main je la game tu, apa salahnya.” Kata seorang “ulama’ keyboard”, gambar profilenya seekor kucing.
Maka ramailah yang menyokong tanpa mengetahui asal usul dan latar belakang “ulama’ baru” ini, entah lepasan bidang agama ataupun tidak. Astaghfirullah.
Seorang lelaki membeli laptop yang cukup mahal harganya. Seminggu selepas warranty laptop berakhir, laptop itu pun rosak dan harga untuk membaikinya cukup mahal – lebih mahal daripada membeli laptop baru yang lebih murah.
Dengan marahnya, cepat sahaja lelaki itu pergi ke page syarikat tersebut. Matanya ternampak di sudut page itu, “Need Assistance? Have feedback? Contact us at contact@companyx.com.”
Ah, mana syok kalau contact senyap-senyap aje nak bagi feedback. Lagi seronok ambil gambar kerosakan laptop tersebut, upload dan tulis panjang-panjang segala ketidakpuasan hati. Biar kawan-kawan, biar semua yang menziarahi page tersebut, melihat feedback beliau secara terang-terangan.
Bukannya tidak betul… dah memang benda betul, kena war-warkan supaya orang lain tidak terjerat, fikirnya.
Terkena bisikan syaitan mungkin.
… Dan terlalu banyak lagi.
Dunia kini, kita mudah terlupa bahawa disebalik setiap akaun atau page di media sosial, terdapat seorang atau beberapa orang insan yang mempunyai hati dan perasaan semasa membaca komen kita.
Lebih dari itu, terdapat dua malaikat yang sentiasa setia mencatat setiap tindakan dan perbuatan kita.
Tidak takutkah kita?
Mungkin kita rasa, kesalahan orang lain yang membuat kita bertindak begitu. Tetapi adakah alasan itu akan diterima ketika kita berada di alam kubur nanti?
Apakah cukup kita mengatakan;
“Ya Allah, aku berbuat begitu kerana si polan membuatku marah.”
Tidakkah kita sentiasa punyai pilihan sebelum bertindak?
Ya, kita sentiasa ada pilihan.
Tindakan kita bukan kerana perbuatan orang lain semata-mata, tetapi juga kerana diri kita yang terlupa soal adab dan hormat. Kita memilih untuk menunjukkan keburukan diri dalam niat kita untuk memburukkan orang lain.
Allah taala bagi cash balik dekat kita. Di mata orang lain, memang kita yang nampak buruk akibat tindakan diri sendiri.
Bayangkanlah, ketika berada di alam barzakh nanti.
Suami tadi, mungkin menerima rahmatNya kerana tidak pernah sedikit pun berkongsi keburukan isterinya.
Ulama’ tadi, mungkin menerima rahmatNya kerana tidak pernah menyatakan cerita-cerita buruk di kalangan masyarakat yang mungkin akan membuat semua rakyatnya berasa malu.
Syarikat tadi, mungkin yang bekerja untuk syarikat tersebut mendapat rahmatNya kerana masih bersabar walaupun sumber pendapatan mereka cuba dijejaskan oleh mereka yang terlalu mengikut emosi merobohkan imej syarikat yang selama ini telah membantu mereka sebaik mungkin.
Kita? Di manakah kita?
Adakah kita akan menerima rahmatNya?
Atau adakah kita juga telah terpesong dan terlupa ke manakah hilangnya adab kita?
Naurah Arfan
Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.