March
06, 2017 by
Saya suka travel.
Andai diberi peluang dan pilihan, saya akan sentiasa memilih untuk mengembara ke tanah asing dan melihat suasana dunia luar daripada meluangkan masa di negara sendiri.
Bukan kerana saya tidak sayang akan negara sendiri, bukan begitu maksud yang cuba saya sampaikan. Tetapi kerana melalui travel, saya dapat mengenali diri sendiri. Saya akan lebih memahami dengan mendalam tentang erti sebenar kehidupan. Saya akan mula merindui dan lebih menghargai negara sendiri.
Mengada, kan? Susah payah nak travel, akhirnya country-sick juga nanti.
Setiap kali saya mengembara ke negara luar, terutamanya apabila berada di negara Barat, saya akan merindui satu perkara ini, hidangan yang cukup sinonim di negara kita, Malaysia tercinta:
Nasi Lemak dan Teh Tarik
Ini sememangnya tidak boleh dinafikan. Apabila berada di negara Barat, perkara pertama yang dirindui adalah kesenangan mencari makanan halal.
Kalau sekadar beberapa hari saja di sana, tidak mengapa. Masih boleh survive dengan makanan vegetarian, paling tidak pun cari ikan (walaupun ikan di sana sangat mahal).
Dalam masa beberapa hari survive dengan hanya roti sebagai makanan harian, mesti diri akan berasa rindu terhadap tanah air, setiap anak perantau akan merasai pengalaman sedemikian rupa. Bahagianya kalau dapat nasi lemak dan teh tarik.
Di sini saya ingin mengambil peluang untuk menegur sedikit. Ada di kalangan warga Muslim di negara Malaysia yang gemar mempertahankan makanan yang tidak pasti halal haramnya.
“Alah, takde sijil Halal tak semestinya haram”.
Memang selalu kita dengar komen sebegini. Statement ini ada benarnya.
Tetapi bagi saya sendiri, saya amat mensyukuri kesenangan yang ada hanya dengan melihat logo sahaja, untuk memastikan makanan yang bakal dijamah halal statusnya.
Nabi juga telah berpesan, elak sebarang perkara yang was-was dan syubhah.
Takkan begitu mudah kita mengalah pada nafsu sendiri, sedangkan makanan halal di Malaysia terlalu senang untuk didapati. Jika di Malaysia pun kita senang mengalah, coklat atau roti yang belum pasti halal haramnya pun kita tidak kisah asalkan sedap mengikut selera kita, bagaimana jika kita diduga terpaksa survive di dunia Barat nanti yang lebih sukar bagi kita mencari makanan halal?
Makanan yang ada ekstrak pork, dimasak dengan menggunakan arak, daging yang tidak disembelih dengan nama Allah SWT.
Adakah kita mampu mengawal diri sedangkan di negara sendiri pun kita sudah tewas?
PS : Bukan nak suruh boikot gerai makcik jual nasi lemak bawah pokok. Cuma sebaik-baiknya kita pilih pengusaha yang berusaha mendapatkan status premis HALAL dan BERSIH. Mencari yang halal itukan ibadah?
Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.