Menegur Biarlah Secara Berhikmah

April
19, 2017 by

Eva Daniel

Sejak wujudnya dunia online dan media sosial, semakin ramai yang lebih terbuka untuk mendalami ilmu agama dan gembira untuk berkongsi ilmu baru dengan rakan-rakan dan ahli keluarga.

Jika difikirkan, amat mudah untuk kita meraih pahala.

Kita terjumpa suatu hadis atau artikel dari ustaz, dan kita klik 'share'. Jika ada yang membaca dan memperoleh manfaat dari perkongsian kita, insyaAllah kita juga akan mendapat sebahagian daripada pahalanya.

Masalah terjadi apabila kita mula hilang 'the human element' di dalam kehidupan seharian kita.

Handphone kita menjadi rakan baik kita, dan media sosial digunakan sebagai alat untuk mendapatkan semula hak kita.

Sepasang suami isteri yang keluar makan, akan sibuk dengan handphone masing-masing sehingga makanan sampai ke meja.

Satu keluarga pada malam hujung minggu akan duduk bersama di ruang tamu tetapi akan sibuk melayan internet atau movie yang di-download di laptop atau TV.

Seorang majikan juga pening melihat pekerjanya yang setiap 5 minit akan check handphone dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja yang dilakukan.

 


Cuba kita periksa kembali diri kita.

Saat kita mula berasa lebih 'selesa' berkomunikasi melalui media sosial, kemungkinan besar kita akan mula hilang sensitiviti terhadap emosi manusia.

Jika pasangan kita membuat kesalahan, tangan kita cepat-cepat cari artikel agama yang berkaitan, kita share dan tag nama pasangan kita. Yang paling kerap dibuat selalunya “Tag” orang yang ingin ditegur terus di bahagian komen artikel atau video tersebut.

"Nah abang, ni sesuai untuk abang baca" tulis seorang isteri yang telah share secara terbuka artikel bertajuk "Masak dan Mengemas Sebenarnya Tanggungjawab Lelaki".

Semasa menekan butang 'share', si isteri hanya sibuk memikirkan tentang haknya.

Isteri itu, sudah tidak memikirkan tentang aib suaminya, atau perasaan suaminya ketika membaca artikel tersebut.

Mana tidaknya, jika setiap masa lapang kita diluangkan di media sosial. Kita sudah terlupa untuk meluangkan masa dengan pasangan dan keluarga kita. Jika kita keluar bersama mereka, kita masih sibuk dengan gajet dan bukan dengan pergaulan bersama mereka.

Perkara ini membuatkan kita hilang 'human factor' dalam pergaulan harian kita.

Jika kita marah, kita boleh dengan sesuka hati meninggalkan komen yang kasar kerana kita terlupa bahawa di sebalik setiap profile dan status, terdapat seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

 

Kadangkala, saya amat teringin untuk lihat bagaimana kehidupan seharian kita berubah jika semua gajet ini sudah tidak wujud.

Kemungkinan besar, si isteri tadi tidak mungkin berani untuk membuat 'dakwah sentap' terhadap suaminya. Jika suaminya membuat kesalahan, si isteri akan menegur secara berhikmah dan penuh hormat.

Bukan dengan 'share dan tag' sahaja.

Benar, media sosial boleh digunakan sebagai alat untuk meraih pahala.

Tetapi ia juga sangat senang digunakan untuk menerima dosa.

Ingatlah: di laman sosial, semua yang menggunakannya adalah manusia. Yang cukup lemah dan akan sentiasa membuat kesilapan. Yang mempunyai hati dan perasaan.

Mungkin handphone tiada perasaan: tetapi setiap insan yang menggunakannya ada perasaan yang perlu dijaga.

Jika ingin tegur, tegurlah, tetapi secara berhikmah. Jangan pula sampai kita lupa tentang keluarga dan rakan di sisi kita kerana terlalu leka dengan handphone di tangan.

Gadgets are meant to enhance life; not to replace life.

Semoga kita menjadi semakin bijak menguruskan hubungan keluarga dan rakan-rakan kita!

Eva Daniel

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS