March
15, 2017 by
Di dalam kehidupan seharian kita, selalu kita berhadapan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Kata-kata yang biasa kita dengar dari orang sekeliling kita ada yang baik, ada yang buruk - ada juga yang bunyinya seperti baik, tetapi hakikatnya pengisian kata-katanya jika diperhatikan sebenarnya amatlah buruk.
Berborak kosong, mengumpat dan memfitnah adalah perkara paling senang kita terbuat. Lagi-lagi dengan teknologi sekarang; lagi cepat maklumat tersebar.
Bila rasa mahu berkongsi sesuatu perkara, amat jarang yang mengkaji dulu. Selalunya, terus kongsi dan menyebarkan tanpa usul periksa. Lebih-lebih lagi kalau berita sensasi kan?
Boleh jadi seseorang ingin dilihat seperti baik, jadi mereka akan menggunakan perkataan yang seolah-olah baik untuk menyebarkan sesuatu yang buruk.
Kita sering mendengar; “Saya cerita ni bukan nak burukkan dia, sekadar berkongsi agar kita tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” tetapi hakikatnya, mereka berasa seronok untuk berkongsi kesalahan orang lain. Inilah yang dinamakan mengumpat dan boleh jatuh memfitnah jika maklumat itu tidak 100% tepat. Ya, 1% pun tak boleh salah!
Mengumpat adalah apabila kita mula sebut-sebut tentang seseorang yang ada keburukan padanya, dan apabila orang tersebut mendengarnya, mereka tidak menyukainya.
Manakala memfitnah pula adalah apabila kita bercakap tentang sesuatu hal yang tidak benar, selalunya melibatkan soal yang boleh menjejaskan maruah. Hukumnya adalah berdosa besar. Walaupun kita tidak tahu kesahihannya, tetap pegang saham dosa menyebarkan fitnah.
Pernah tak dengar hadis ini?
RASULULLAH S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus lidahnya.”
Melalui hadis ini, kita belajar bahawa sebenarnya lidah dan hati amat berkait rapat, kerana lurusnya lidah seseorang itu akan membawa kepada lurusnya hati dan keimanan seseorang itu. Jika lidah seseorang itu sentiasa sibuk dengan aktiviti mengumpat, maka apa yang anda rasa tentang gambaran hatinya?
Kes mulut jahat hati baik? Senang cakap dalam bahasa Inggeris-nya; “There’s no such thing!”
Apabila lidah suka mencela atau pun “laser” sebenarnya itulah gambaran hati seseorang.
Hakikatnya, penyakit “lidah kronik” itu adalah juga penyakit hati. Tidak mungkin seseorang itu mengubati hatinya jika lidahnya tidak diubati dahulu.
Mari kita lihat penyakit hati yang menyebabkan seseorang itu mengumpat atau mencela.
Contohnya apabila ada orang menegur, terus Si Polan akan menjawab “Aku dah makan garam dulu dari engkau!” Kita perlu ingat, hanya Allah SWT sahaja yang layak sombong.
Allah SWT telah menutup terlalu banyak aib kita, jika Allah buka aib kita, betapa malunya kita, betapa banyak dosa kita! Kita perlu sentiasa berwaspada, selagi ada aib pada diri, selagi itu kita tidak layak berasa sombong kerana Allah Taala yang Maha Sempurna, tiada cacat cela.
Ingat, jangan undang kemarahan Allah. Nampak mudah dan tiada salahnya bergurau dan mempersendakan? Namun hakikatnya amat buruk.
Jelas di sini bahawa sebenarnya disebalik penyakit lidah terdapat penyakit yang lebih kronik iaitu penyakit hati.
Mengumpat & mencela hanya akan mendatangkan murka Allah. Segala kebaikan yang kita buat, akan jadi sia-sia kerana pahala tersebut akan dipindahkan kepada orang yang diumpat dan dicela. Dan sekiranya tiada amal kebaikan pada kita, kejahatan orang tersebut akan terkena pada diri kita dan kita akan pikul dosa orang yang diumpat atau dicela itu.
Astaghfirullah, berat balasan terhadap perbuatan lidah ini. Jika pernah kita lakukan dosa ini, kita perlu bertaubat, dan meminta maaf kepada orang yang diumpat. Jika tidak, dosa ini akan terbawa-bawa sehingga ke liang lahad.
Apabila kita memohon maaf, jika ianya tidak bawa mudarat yang besar, kita harus sebut dosa itu.
Tak malukah, jika kita perlu berjumpa dengan orang yang pernah jadi “bahan umpatan” kita, kemudian kita menyebut satu-satu perkara yang diumpat? Jika terlalu sukar, cukuplah sekadar mohon maaf dengan ikhlas.
Marilah berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa orang yang diumpat, dan ampunkanlah dosa-dosa kita juga.
InsyaAllah, sama-sama kita berusaha memelihara lidah untuk menjadi lebih baik.
Naurah Arfan
Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.