Qada’ dan Qadar: Adakah Kita Sebenarnya Tiada Pilihan?

May
05, 2017 by

Eva Daniel

Jika semuanya sudah pun tertulis, adakah kita sebenarnya tiada pilihan?

Ada yang pernah berkata kepadaku, kononnya beliau sedang menggunakan "fikiran rasional" untuk mencari helah membuatkan kita berasa keliru tentang Islam.

Beliau berkata, “Sebenarnya kita tidak diberi pilihan. Mengapa? Kerana qada’ dan qadar telah ditentukan oleh Allah. Jadi sebenarnya, segala pilihan kita bukanlah pilihan kita, kerana Allah SWT sudah tahu kita memang akan memilih perkara tersebut. Sebenarnya kita tiada pilihan. Jika kita boleh memilih, tentu ia belum tertulis!”

Subhanallah, Maha suci Allah SWT dari pandangan hambaMu yang jahil.

Sebenarnya, jika ditanya soalan ini kepada seorang guru, mungkin mereka lebih memahami konsep qada’ dan qadar ini. Maha suci Allah SWT daripada apa sahaja perbandingan di dunia ini.

Seorang guru mengajar sebuah kelas seramai 30 orang. Di dalam kelas tersebut, ada pelajar gifted, senang mempelajari ilmu baru dan sentiasa mendapat markah tertinggi.

Ada juga, di dalam kelas tersebut, pelajar yang kurang pandai dan lebih perlahan dalam memahami konsep dan ajaran baru.

Guru tersebut cukup mengenali pelajar-pelajarnya.

Suatu hari, dia memulakan kelas dengan berkata, “Hari ini, saya akan berikan satu tugasan yang perlu anda siapkan. Jika anda siapkan awal, anda boleh balik awal. Jika tidak sempat, anda boleh membawa tugasan itu pulang dan hantar esok. Jika anda tidak siapkan tugas ini, saya akan kenakan denda.”

Ada pelajar yang sangat menggemari tugasan yang diberi. Bagi pelajar itu, tugasan yang diberikan teramatlah mudah dan dia segera menyiapkan tugasan tersebut.

Tetapi ada juga seorang pelajar yang mendapati tugasan itu teramatlah susah. Jika diikutkan kata hati, dia lebih rela membayar hutang dari menyiapkan tugasan tersebut.

Jadi di sini, pelajar itu ada pilihan.

Adakah dia akan tetap menyiapkan tugasan tersebut meskipun tugasan itu berat dan melebihi kemampuannya? Atau adakah dia akan mengaku kalah dan memilih untuk tidak menyiapkan tugasan tersebut?

Bagi pelajar cemerlang, guru tersebut tentunya berasa senang hati dan gembira apabila tugasan itu disiapkan. Tetapi bagaimana pula dengan pelajar yang kurang pandai? Jika dia memilih untuk menyiapkan tugasan meskipun guru itu tahu bahawa tugasan itu amat sukar baginya, tidakkah guru itu akan lebih menyayangi pelajar tersebut kerana usahanya yang tidak pantas mengaku kalah?

Ini adalah gambaran yang cukup kecil untuk memudahkan kefahaman konsep qada’ dan qadar.

Sebenarnya, kita dilarang sama sekali untuk menggunakan qada’ dan qadar sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu, terutamanya apabila ianya berada di dalam kuasa kudrat kita untuk mengubahnya.

Kita dilarang untuk menyatakan bahawa kita tiada pilihan kerana segalanya sudah pun tertulis. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui, kita wajib percaya bahawa kita diberi pilihan untuk bertindak, tetapi apa sahaja pilihan berada di dalam qadar Allah SWT, kerana kita tidak boleh mengatakan bahawa Allah SWT tidak mengetahui.

Persoalan yang ditanya sebenarnya adalah satu soalan yang salah.

Tidak wajar untuk kita bertanya, “Benarkah aku ada pilihan, kerana semuanya sudah tertulis?”

Sebaliknya, kita patut bertanya, “Andai aku memilih yang ini atau yang itu, adakah Allah SWT akan memandangku dengan rahmatNya kerana Dia lebih mengetahui betapa sukarnya aku meninggalkan perkara ini, atau melakukan perkara itu?”

Kita sebagai manusia sentiasa diberi pilihan, dan kita tiada alasan untuk menidakkan perkara ini.

Lihatlah dunia ini berserta dengan segala hukum hakam di dalamnya dengan penuh hikmah.

Allah SWT Maha Mengetahui. Dia mengetahui apa yang sukar bagi kita dan apa yang mudah. Hatta ketika membaca al-Quran, jika seseorang itu membaca secara tidak lancar mengikut kemampuannya pun diberikan dua ganjaran, apatah lagi jika kita membuat pilihan untuk mengikuti suruhanNya?

Subhanallah. Mari memilih untuk menjadi yang terbaik!

Eva Daniel.

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS