Sampai Bila Perlu Bersabar?

March
10, 2017 by

Naurah Arfan

Apabila seseorang ditimpa ujian, hampir mustahil untuk beliau tenang dan bersabar, lebih-lebih lagi jika kesabarannya diuji oleh perangai manusia. Persoalannya, sampai bila kita perlu bersabar?

Jawapannya, sampai bila-bila.

Sering kita dengar,

“Sabar itu sebahagian daripada iman”.

Dan sering juga kita kaitkan sabar dengan waktu susah tetapi jarang sekali kita dengar tentang sabar sewaktu senang.

Apakah yang dimaksudkan dengan bersabar sewaktu senang? Bersabar di saat senang boleh kita pelajari dari kisah Rasulullah S.A.W ini:

Ada seorang kaum Ansar yang sering meminta-minta pada Rasulullah, sampai tiada apa yang tinggal untuk diberikan lagi. Tiada apa yang disimpan, atau disembunyikan dan sekiranya ada pastinya Baginda akan bagi.

Betapa tingginya tahap kesabaran Rasulullah SAW.

Realitinya kalau orang meminta-minta pada kita, pasti kita akan berasa marah dan kurang senang.

Mudah menyampah apabila orang meminta-minta.

Mudah menyampah bila orang meminta-minta

Rasulullah SAW berpesan, “Dalam kehidupan kita, akan sentiasa ada perasaan berkehendak, tahanlah diri kamu, Allah pasti akan cukupkan.”

Siapa yang menjaga air muka (meminta-minta) Allah akan berikan rasa cukup, mencukupi dalam segala hal ehwal kehidupan.

JANGAN asyik rasa tidak cukup sahaja kerana kekayaan yang sewajarnya kita kejarkan adalah kaya JIWA, lantas hati pun akan berasa tenang dan tenteram, bukannya kaya harta semata-mata.

Apalah gunanya duit dan harta yang melimpah ruah jika hati sentiasa berdebar dengan SPRM, LHDN, dan sebagainya. Untuk apa semua itu? Adakah anda rasa berbaloi untuk kehidupan yang sementara di dunia ini?

Seandainya kita sudi luangkan masa sejenak duduk bermenung dan berfikir. Betapa banyaknya nikmat yang Allah telah berikan kepada kita.

Misalnya, dalam beberapa detik, berapa kali kita kelipkan mata supaya sentiasa lembap. Walhal perkara yang di depan mata kita ini tidak pernah kita ambil kira. Belum lagi kita ambil kira air yang masuk dan keluar dari badan, usus yang berada dalam badan kita lebih kurang sepanjang 40m, dan bermacam-macam lagi.

Nikmat yang di hadapan mata

Cuba anda fikirkan sejenak. Pasti rasa sudah terlampau kaya kita ini sebenarnya! Siapa yang sentiasa rasa cukup dengan nikmat Allah, maka dia seorang yang kaya, kaya segenap jiwanya!

Sesiapa yang dalam hidupnya tanpa lelah mengasuh dan mengajar diri untuk bersabar, Allah akan memberi ganjaran buatnya. JANGAN apabila tidak sampai hujung bulan lagi, mula hilang sabar, makanan tak siap lagi, mula melenting. Jangan begitu lekas tewas dengan nafsu amarah, jangan beri syaitan peluang percuma untuk masuk mencelah dan meniupkan api kemarahan dari jiwa seorang Muslim yang beriman.

 

BERSABARLAH DENGAN UJIAN HIDUP...

1. Kebiasaannya, golongan sesama kita (sama kedudukan) yang seringkali berasa dengki. Misalnya pengurus sesama pengurus, rakan sekerja sesama rakan sekerja, bahkan kawan sesama kawan pun ada juga yang saling berhasad dengki apabila yang seorang diberi rezeki lebih.

one against another

  1. Orang munafik yang tidak suka akan orang mukmin. Janganlah cakap “Tidak mengapa, kamu munafik dan bukannya kafir pun.” SAMA sahaja kedudukannya malah lebih teruk lagi! Kelak Allah akan kumpulkan dalam satu kawah neraka yang sama.
  2. Syaitan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan anak Adam. Misalnya sewaktu hendak menunaikan solat, apabila angkat sahaja takbir, fikiran mulai melayang dan terganggu. Mula teringat perkara-perkara yang tidak pula kita sibuk ingati pada waktu lain.
  3. Hati dan nafsu yang sentiasa menarik-narik kita untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan dilarang.
  4. Wang ringgit yang tak pernah cukup kerana percayalah, bahkan orang yang ada berjuta ringgit dalam akaun bank mahukan lebih lagi. Dugaan wang ringgit amat sementara, memohonlah pada Allah untuk mendapatkan rezeki yang besar.

Kita perlu sentiasa belajar dan mendidik diri agar tidak rosak dan merosakkan umat. Kepada setiap insan yang dikurniakan rezeki dan diberikan mahupun dikongsikan dengan orang lain, pasti Allah akan berikan kurniaan kesabaran dalam hidup ini. Kesabaran bukanlah satu perkara yang mudah untuk dimiliki. Sama seperti belajar berenang, kita perlu berlatih dengan penuh azam, tekad, dan kesabaran yang tinggi; jika tidak kita tidak akan mampu untuk mengapungkan diri sekalipun.

Sesiapa yang diberi UJIAN dan memilih untuk bersabar akannya, malah di saat SENANG juga bersabar dan ikhlas, itulah yang terbaik buat dirinya. Dalam hidup ini kita akan berdepan dengan bermacam-macam ragam manusia, bersabarlah duhai jiwa yang dimiliki Allah SWT.

Namun ingat, bersabar jangan sehingga tidak sedar diri bahkan menzalimi emosi sendiri. Misalnya jika ada kematian, kita dibenarkan untuk menangis akan kehilangan insan yang tersayang, tetapi jangan hingga meratapi dengan meraung-raung, meracau dan menyalahkan takdir. Bila terjadi sebegitu, maknanya kita sudah tidak bersabar dan tewas dengan desakan emosi.

Semoga kita dapat merasakan kemanisan bersabar. Fasbir sabran jameel. Sabar itu indah. Uniknya seorang Islam itu apabila dia susah, dia bersabar dan dekat dengan Allah, dan apabila senang dia juga bersabar dan semakin dekat hatinya dengan Allah. MasyaAllah.

One step at a time, InsyaAllah.

ELLE ZADA

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS