Sedih, Banyak Sangat Kena Belajar Dalam Islam

May
04, 2017 by

Naurah Arfan

Sampai bila hendak pandai? Baca al-Quran pun tajwid belum betul.

Sedih.

Memang sedih.

Sudah berapa tahun menanam azam untuk mempelajari Al-Quran, semakin lama belajar, semakin banyak yang tidak diketahui.

Dulu, saya ingatkan sekurang-kurangnya saya telah menguasai ilmu tajwid, tetapi hakikatnya masih banyak sebutan yang salah. Kadangkala bacaan masih tergagap-gagap, bila difikirkan, malu hendak berhadapan dengan bakal suami yang mungkin lancar bacaannya.

Saya cuba membuka terjemahan al-Quran.

Cuba mentaddabur makna di sebalik ayat-ayat yang sering dibaca di dalam solat, ternyata hampa dengan diri sendiri.

Setiap ayat ada sejarahnya. Ada konteks khusus yang perlu dihadam. Ada cara mentafsir yang berbeza-beza, dan kitabnya, MasyaAllah, hendak pilih yang mana? Hendak bermula dari mana?

Hendak memperbanyakkan solat sunat, tetapi solat fardhu pun belum tentu menepati waktu.

Tertidur, kadangkala sehingga terlajak subuh dek sibuk seharian bekerja mencari rezeki tambahan sehingga ke lewat malam.

Berniat mahu mula mengerjakan solat Dhuha, tetapi bacaannya belum cukup dihafal. Begitu juga dengan solat istikharah, solat hajat apatah lagi solat sunat yang lain.

Terlalu banyak doa baharu yang perlu dihafal dan dipelajari.

Hendak mula menghafal surah, kerana hakikatnya surah-surah yang dihafal adalah surah lazim yang sudah dihafal sejak sekolah menengah dahulu. Bukan semakin bertambah jumlah hafalan, sebaliknya semakin berkurangan kerana ada surah-surah panjang yang jarang sekali dibaca dan akhirnya terlupa.

Maka timbullah satu perasaan dalam hati, bisikan syaitan:

“Tidak kira bagaimana usaha saya sekalipun, saya tidak akan mampu menguasai semuanya. Jadi apa gunanya semua usaha ini?”

Sebenarnya, jika pernah timbul keluhan ini, cepat-cepatlah buangkan ia dari hati, kerana inilah bisikan syaitan yang sentiasa inginkan seseorang hamba Allah itu mengalah dan akhirnya tewas dalam keluhannya sendiri.

Allah SWT tidak pernah meminta kesempurnaan daripada kita.

Hakikatnya, seluas-luas lautan di muka bumi ini, lautan itulah yang akan kering dahulu jika ingin digunakan sebagai dakwat menulis ilmuNya.

Jika lautan juga tidak mampu menguasai segala ilmuNya, apatah lagi kita, dengan minda kecil kita?

Sebenarnya, Allah SWT cuma mahukan kemajuan yang sedikit, tetapi berterusan.

Kerana kita sudah pun berada di atas jalan yang benar, kita cuma perlu bergerak sedikit demi sedikit di atas jalan tersebut. Mujahadah itu menuntut kesungguhan, namun ganjaran bagi orang yang bersabar dalam istiqamahnya begitu mulia di sisi Allah.

Jika kita suka mentaddabur al-Quran dan memahami maknanya, ambillah satu ayat sebulan. Jika kita ingin mempelajari bahasa arab, belajarlah satu perkataan seminggu. Sedikit? Ya, memang sedikit. Tetapi sedikit demi sedikit, insyaAllah lama-lama akan menjadi bukit.

Jangan berasa sedih kerana tidak dapat mempelajari semuanya.

Sebaliknya berbahagialah, kerana Allah SWT ingin kita bergembira dalam usaha kita untuk sentiasa belajar.

Daripada kita berasa sedih, marilah kita sentiasa mendidik rasa syukur dan menikmati pembelajaran seumur hidup ini.

Coretan hati,

Naurah Arfan

 

Hak cipta © oleh ELLE ZADA Holdings Sdn. Bhd. 2017
Hak cipta terpelihara. Penerbitan ini atau mana-mana bahagiannya tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan, dihantar, digunakan dalam apa-apa cara sekalipun, atau disimpan di dalam pangkalan data atau sistem dapatan semula tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit.

CONVERSATIONS